Kerajaan Sarawak Tambah RM141.7 Juta Dalam Pakej BKSS 5.0 Bantu PKS

 ISNIN, 8 FEBRUARI 2021

LAWAS: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM141.7 juta di bawah pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 bagi membantu perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Berucap semasa majlis sumbangan Sempena Tahun Baru Cina di Lawas pada Ahad, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyarankan agar pemilik Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) mengambil peluang memohon bantuan berkenaan.

Menurut beliau, tindakan tersebut jelas membuktikan kerajaan negeri komited dan serius dalam menjaga kebajikan rakyat di negeri ini khususnya golongan peniaga.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri telah memperuntukkan RM3.14 billion bagi membantu rakyat menerusi lima pakej BKSS yang lepas.

Dalam majlis itu, Datuk Amar Awang turut menasihati rakyat untuk mematuhi  segala Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika sambutan Tahun Baru Cina kelak.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agong dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Paulus Palu Ngumbang.-EDISI UKAS

Share

add comment