Mangsa Banjir Bukit Engkerbai Dan Lubok Bemban Mukah Terima Bantuan Makanan

AHAD, 8 FEBRUARI 2021

MUKAH: Mangsa banjir dari 19 buah rumah panjang termasuk dua sekolah di Bukit Engkerbai dan Lubok Bemban Mukah menerima bantuan makanan dibekalkan Jabatan Kebajikan Bahagian Mukah.

Penyerahan bantuan itu disempurnakan oleh Residen Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir kepada Penghulu Mawar Awang selaku wakil semua Tuai Rumah dan mangsa banjir di kedua kawasan itu pada Ahad.

Menurut Hamdiah, sebanyak 2087 bakul makanan dan beras yang diambil dari Selangau diagihkan kepada penduduk yang terjejas.

“Ini merupakan hari kelima penduduk di kawasan Engkerbai dan Lubok Bemban tidak dapat melepasi beberapa kawasan yang terjejas. 

“Keadaan banjir masih tinggi dan di kawasan ini terputus hubungan oleh kerana jalan tidak dapat dilalui,” katanya kepada krew UKAS.

Sementara itu, Penghulu Mawar ketika ditemui merakamkan terima kasih kepada kerajaan, Pejabat Residen, Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua agensi yang telah membantu dalam proses penghantaran bakul makanan ke kawasan yang terjejas.

Terima kasih juga dizahirnya kepada ADUN Tellian, Yussibnosh Balo atas keprihatinan beliau kepada penduduk di kawasan Ulu khususnya.

Beliau dalam pada itu berharap jalan di kawasan itu dapat dinaiktaraf agar penduduk setempat tidak berdepan kesukaran jika musibah banjir berlaku lagi di masa akan datang. – EDISI UKAS

Share

add comment