Tingkatkan Kualiti Dan Kemudahan Pendidikan Di Parlimen Batang Sadong

ISNIN, 8 FEBRUARI 2021

SIMUNJAN: Meningkatkan kualiti dan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar sentiasa diberi perhatian bagi melahirkan golongan modal insan yang cemerlang.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, merapatkan jurang pendidikan bagi kawasan bandar dan luar bandar merupakan kunci dalam mencapai matlamat memperkasakan pendidikan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sejak menjadi wakil rakyat di Parlimen Batang Sadong pada tahun 2008, beliau telah menyalurkan banyak peruntukan bagi membantu menaik taraf kualiti dan kemudahan pendidikan di kawasan berkenaan.

“Kita juga membantu para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran mereka sebagai salag satu strategi melahirkan modal insan kelas pertama,” katanya semasa berucap dalam Program Back To School Simunjan pada Ahad.

Sementara itu, beliau memberitahu, pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Man menjadi keutamaannya dan difahamkan tender untuk pembinaan sekolah berkenaan telah selesai.

Melihat aspek pelancongan pula katanya, rancangan awal untuk mendapatkan penglibatan sekolah-sekolah pada tahun lalu adalah untuk mewujudkan ‘Young Ambassador Program’ yang melibatkan kanak-kanak sekolah rendah darjah 4 dan darjah 5 di Simunjan.

“Ia adalah usaha untuk menjadikan mereka sebagai pemandu pelancong muda yang fasih berbahasa Inggeris dan secara tidak langsung memberi keyakinan kepada mereka untuk bercakap dan bercerita mengenai produk pelancongan tempatan,” tambahnya. -EDISI UKAS

Share

add comment