Jambatan Bukan Sahaja Untuk Menyeberangi Sungai, Tetapi Juga Sebagai Keperluan Ekonomi

SELASA, 9 FEBRUARI 2021

LAWAS: Pembinaan jambatan penting bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman untuk menyeberang dan memudahkan aktiviti pertanian. 

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, selain memudah perjalanan, ianya juga sebagai keperluan ekonomi penduduk khususnya dalam membawa hasil-hasil pertanian. 

“Jambatan gantung yang dibina ini adalah untuk kemudahan orang ramai di kawasan ini. Ia begitu penting kerana memberi kemudahan untuk orang kampung menyeberang sungai dan mengusahakan serta membawa hasil kebun-kebun mereka sejak turun temurun. 

“Di Batang Sungai Trusan ini sahaja sudah ada 9 buah jambatan gantung yang telah dilaksanakan dengan secara purata kosnya adalah antara RM150,000 hingga RM200,000,” katanya. 

Bercakap dalam sidang media itu juga selepas merasmikan Jambatan Gantung di DA Sango Recreational Park and Homestay, Trusan, Lawas pada Isnin, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia yang juga Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong juga telah melaksanakan pembinaan 7 buah jambatan di Lawas Damit. 

“Di Semadoh pula 8 buah yang sudah siap dibina dan di kawasan Bakelalan ada 4 buah jambatan gantung.

“Jadi  jambatan yang dibina ini adalah untuk kemudahan masyarakat  pergi menyeberang yang tujuannya memudahkan aktiviti pertanian,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari memberitahu selain jambatan beberapa projek pembangunan lain juga turut dilaksanakan di kawasan Sungai Batang Trusan. 

“Jalan tar di Sungai Batang Trusan ada yang telah rosak dan Kerajaan Sarawak akan menaik taraf jalan ini bagi keperluan penduduk. 

“Begitu juga dengan projek bekalan air di mana kita ianya akan dilaksanakan meliputi semua kawasan di hulu Sungai Batang Trusan ini. Kerja-kerja ini sudah dalam pelaksanaan sekarang ini dan ada sebahagian sudah siap dan ada yang masih dalam perancangan.

“Kita juga bercadang memasang sebuah ‘booster station’ untuk memmastikan bekalan air di kawasan hulu Batang Trusan mendapat bekalan yang lebih baik dengan peruntukannya telah diluluskan oleh Ketua Menteri,” katanya. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok. -EDISI UKAS

Share

add comment