Pakej Tambahan Mikro Kredit RM50 Juta Bantu Peniaga Kecil Tangani COVID-19, Pejabat Cawangan JTS Ditubuhkan Di Daerah Lawas

SELASA, 9 FEBRUARI 2021

LAWAS: Sejak setahun lepas, Malaysia telah terkesan akibat penularan pandemik COVID-19. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak bersama dengan Kerajaan Persekutuan telah banyak memberikan bantuan kepada masyarakat yang terjejas akibat COVID-19 termasuk pengusaha-pengusaha perniagaan. 

“Baru-baru ini Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meminta saya mengumumkan pakej tambahan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana untuk bantuan daripada segi kewangan. 

“Saya berharap bantuan ini dapat digunakan oleh peniaga-peniaga kecil dengan penambahan mikro kredit sebanyak RM50 juta. 

“Bagi sewaan perniagaan, sewaan akan dikurangkan dan bil-bil bulanan juga dikurangkan. Saya harap kita semua dapat mengambil manfaat ini,” katanya. 

Bercakap semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina Daerah Lawas 2021 yang diadakan di Kelab Rekreasi Chung Hua, Lawas pada Isnin, Datuk Amar Awang Tengah berkata peniaga boleh berurusan dengan Agro Bank untuk urusan-urusan ini yang melibatkan mikro kredit. 

Dalam perkembangan yang sama Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, Kerajaan Sarawak bersetuju membuka pejabat cawangan Jabatan Tanah dan Survey di Daerah Lawas ini. 

“Kita telah bersetuju untuk mengadakan Pejabat Cawangan Jabatan Tanah dan Survey di Daerah Lawas ini. 

“Di sini, kita boleh berurusan di Lawas ini sahaja tanpa perlu ke luar kawasan lagi. 

“Kita mesti berubah dan kita tidak ada pilihan lain. Ini adalah untuk keselamatan kita untuk sama-sama berjaga-jaga disebabkan pandemik COVID-19 ini,” katanya. 

Pada majlis itu, seramai 180 orang warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) menerima sumbangan ‘angpau’ sempena Tahun Baharu Cina 2021 dan selebihnya akan disampaikan ahli jawatankuasa.

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok. -EDISI UKAS

Share

add comment