Panggilan Video Dalam Norma Baharu COVID-19 Terus Eratkan Pemimpin Dan Masyarakat

SELASA, 9 FEBRUARI 2021

KUCHING: Penularan wabak pandemik COVID-19 ketika ini telah mendorong penggunaan teknologi digital dalam setiap urusan harian yang sebelum ini dilakukan secara bersemuka.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, dalam norma baharu ini penggunaan teknologi bukan sahaja mudah, tetapi juga selamat dalam usaha membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

“Dalam beberapa situasi, kaedah norma baharu seperti penggunaan ‘video call’ atau panggilan video yang digunakan secara meluas ketika ini adalah untuk keselamatan dan kesejahteraan bersama.

“Ianya amat praktikal sebagai pengganti diri yang mana ketika ini aktiviti secara bersemuka tidak digalakkan sebagai memenuhi garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengelak penularan COVID-19.

“Malah, dengan teknologi digital ini juga kita masih dapat terus berinteraksi dan mengeratkan hubungan sesama kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Penyampaian Sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kawasan DUN Demak Laut Dalam Norma Baharu pada Isnin.

Tambah Dr Hazland lagi, ini bukan kali pertama beliau menggunakan panggilan video dalam setiap urusan di kawasannya dan akan terus menggunakan teknologi ini untuk bersama penduduk di DUN Demak Laut mengikut masa-masa yang sesuai.

“Panggilan video ini adalah cara terbaik untuk berinteraksi bersama penduduk dalam tempoh PKPB ini.

“Bagaimanapun, saya akan turut juga berjumpa dengan penduduk secara bersemuka dengan mengikuti SOP mengikut situasi semasa yang memerlukan untuk pastikan kebajikan masyarakat DUN Demak Laut sentiasa terjamin dan terpelihara di masa yang memerlukan ketika ini,” tambahnya.

Pada majlis itu, Dr Hazland telah menyampaikan sumbangan tahunan sebanyak RM10,000 iaitu RM5,000 bagi setiap enam bulan kepada PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Beradek yang diwakili Yang DiPertua PIBG SK Beradik Maria Ahmad. -EDISI UKAS

Share

add comment