Pembinaan Ruang Tempat Letak Kenderaan Tambahan Tampung Jumlah Parkir Kenderaan Di Tiga Buah Sekolah

SELASA, 9 FEBRUARI 2021

MIRI: Sebanyak RM500,000 telah diperuntukkan Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri bagi melaksanakan pembinaan ruang tempat letak kenderaan tambahan di depan Sekolah Menengah Jalan Riam Miri.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee kim Shin berkata, ini bertujuan meredakan suasana kesesakkan di kawasan persekolahan serta perumahan tersebut khususnya pada waktu puncak apabila sesi persekolahan bermula. 

“Kapasiti tempat letak kenderaan yang sedia ada untuk sekolah terletak bersebelahan dengan projek tapak baharu dan ini juga hampir dipenuhi dengan kenderaan pelajar.

“Selain Sekolah Menengah Jalan Riam, jalan itu juga berdekatan dengan Institut Teknologi Riam dan sekolah baharu Sekolah Antarabangsa Riam Hill.

“Dengan adanya tapak tempat letak kenderaan yang lebih luas dan besar ini, ianya dijangka mampu menampung jumlah kenderaan pelajar, guru dan kakitangan untuk ketiga-tiga sekolah,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Tapak Ruang Tempat Letak Kereta di Sekolah Menengah Jalan Riam, Miri pada Isnin. 

Dalam perkembangan yang sama, Datuk Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut mengemukakan cadangan kepada JKR untuk menambah sebuah lampu isyarat pejalan kaki bagi menjaga keselamatan para pelajar, guru-guru serta pengguna jalan raya yang melintasi jalan raya untuk ke tempat letak kenderaan mereka.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Jalan Riam Datuk Seri Law Kiu Kiong dan Jurutera Bahagian JKR Miri Chong Chi Fam. -EDISI UKAS

Share

add comment