Penduduk Kampung Sungai Mata Mohon Pihak Kerajaan Naik Taraf Sistem Perparitan Bagi Atasi Masalah Banjir

SELASA, 8 FEBRUARI 2021

KOTA SAMARAHAN: Sistem perparitan yang kurang sempurna dipercayai menjadi punca sebahagian kawasan di Kampung Sungai Mata sering dilanda banjir apabila berlakunya hujan lebat berterusan dan bertembung dengan fenomena air pasang besar.

Penghulu Kampung Sungai Mata, Elen Mustapha memberitahu, keadaan itu berpunca dari air yang datang dari ladang kelapa sawit yang mengalir melalui sistem perparitan kampung sehingga menyebabkan pintu air ban tersumbat dan memasuki rumah.

Menurutnya, sistem perparitan yang kurang sempurna sering mengakibatkan banjir kilat berlaku sekaligus memberi kesan terhadap penduduk kampung dari segi harta benda, tanaman dan ternakan.

“Selain itu faktor pembangunan tidak terancang dengan kebanyakan rumah dibina atas laluan sistem perparitan juga didakwa punca utama kejadian banjir kilat menyebabkan laluan air di perparitan tersekat hingga mengakibatkannya melimpah ke rumah penduduk berhampiran.

“Justeru, saya berharap kerajaan melalui agensi berkaitan dapat membantu menaik taraf segera sistem perparitan di kawasan ini kerana ianya menyukarkan pembangunan terutama dari segi ekonomi pekebun dan penternak yang terjejas setiap kali banjir kilat berlaku,” katanya ketika ditemui UKAS pada Selasa.

Sementara itu, seorang penduduk, Julaini Seli berkata, sistem perparitan yang tidak lurus juga dipercayai menjadi punca saliran perparitan terjejas.

“Jadi, saya mohon pihak kerajaan menerusi agensi berkaitan menaik taraf sistem perparitan yang lebih sistematik di kawasan ini,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk yang terjejas dengan banjir, Mohd Hamzah Abdullah mendakwa, punca lain yang menyebabkan banjir berlaku adalah pintu air ban yang terlalu kecil.

“Bagi mengatasi masalah ini, saya memohon pihak berkuasa segera meningkatkan kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan agar lebih teratur,” ujarnya.

Selain masalah banjir dan sistem perparitan, penduduk juga menyuarakan agar permohonan bagi penambahan lot penempatan baru daripada 33 lot yang sudah dibuka bagi menampung pertambahan penduduk terutamanya generasi baru dari kampung tersebut.

Di samping itu, penduduk juga berharap usaha menaik taraf jalan lorong kampung dengan menurap jalan raya tersebut bagi memudahkan kenderaan penduduk melalui lorong rumah masing-masing. -EDISI UKAS

Share

add comment