Pustaka Negeri Sarawak Perkenal Pelbagai Pendekatan Salur Perkhidmatan Kepada Orang Ramai

SELASA, 9 FEBRUARI 2021

KUCHNG: Pustaka Negeri Sarawak (PNS) telah memperkenalkan beberapa pendekatan untuk menyampaikan perkhidmatan kepada orang ramai semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Arpah Adenan, antara inisiatif yang diperkenalkan adalah perkhidmatan ‘Book Bear’ di mana Pustaka Negeri Sarawak telah berkolaborasi dengan syarikat penghantar atau ‘runner’ untuk menghantar buku yang dipesan secara atas talian ke rumah pelanggan.

Katanya, perkhidmatan itu diperkenalkan susulan orang awam dilarang mengunjungi perpustakaan semasa tempoh PKP.

“Pengguna tidak boleh datang ke perpustakaan. Jadi kita hantar buku kepada pengguna.

“Bererti perkhidmatan yang disediakan oleh Pustaka Negeri Sarawak adalah berterusan walaupun dalam keadaan begitu (PKP), kita tetap meneruskan perkhidmatan kepada komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemuramah selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

Kunjungan hormat itu diketuai Pengerusi Lembaga Pengurusan Tertinggi Pustaka Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr. Hamid Bugo beserta ahli-ahli lembaga pengurusan yang lain.

Menurut Arpah lagi, selain memberi langganan secara percuma kepada orang ramai khususnya pelajar secara atas talian, PNS juga telah mewujudkan program penyiaran sendiri yang disalurkan ke pelbagai platfrom media sosial.

Tambah beliau, Pustaka Negeri Sarawak juga menyediakan Pusat Komuniti Digital yang boleh digunakan oleh para pelajar mengulang kaji pelajaran kerana pusat itu dilengkapi dengan internet dan pelbagai kemudahan lain.

Ini termasuk memperkenalkan inisiatif ‘Pustaka In The Box’ bagi merapatkan jurang digital antara kawasan pedalaman dan bandar serta memperkasakan penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan komuniti. – EDISI UKAS

Share

add comment