Sarawak Volunteer Hulur Bantuan Kepada Mangsa Banjir Di Simunjan Dan Sebuyau

SELASA, 9 FEBRUARI 2021

SEBUYAU: Walaupun keadaan banjir semakin beransur surut, mangsa-mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus menerima bantuan. 

Sarawak Volunteer yang diwakili 12 sukarelawan belia telah menghulurkan bantuan makanan dan keperluan sanitasi peribadi kepada mangsa banjir di PPS Dewan Kampung Lubok Buntin, Simunjan dan Dewan Masyarakat Kampung Entanggor, Sebuyau. 

Menurut Exco Sarawak Volunteers Adzim Rahman, pemberian bantuan ini adalah untuk memastikan kebersihan diri mangsa banjir sentiasa diberikan keutamaan. 

“Dalam keadaan banjir dan hujan ini, mangsa yang dipindahkan ini pastinya tidak membawa barangan keperluan diri yang lengkap. 

“Dengan pemberian barangan keperluan sanitari peribadi seperti sabun, shampoo, berus gigi, ubat gigi dan tuala wanita ini dapat membantu mangsa banjir dalam keadaan bersih selepas hampir seminggu berada di PPS. 

“Selain itu, turut diberikan bantuan makanan kering seperti milo dan biskut untuk keperluan mangsa banjir,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada 23 orang mangsa banjir daripada 7 keluarga. 

Bantuan yang sama turut diberikan kepada 45 mangsa banjir daripada 17 keluarga yang berada di PPS Dewan Masyarakat Kampung Entanggor, Sebuyau. 

Seperti sebelumnya, bantuan yang diberikan turut sama iaitu barangan makanan dengan tambahan seperti beras, gula, garam, tepung dan mihun serta keperluan sanitasi peribadi. 

Turut diberikan ialah barangan sekolah seperti alat tulis, buku mewarna dan buku latihan kepada anak-anak sebagai aktiviti pembelajaran mereka sepanjang berada di PPS ini. 

Rata-rata mereka yang menerima bantuan ini sangat berterima kasih di atas pemberian bantuan ini dan dapat berkongsi barangan bersama dengan keluarga mangsa banjir yang lain. 

Malah, kanak-kanak teruja dan gembira sumbangan peralatan sekolah berupa alat tulis, buku mewarna dan sebagainya. 

Hadir sama Naib Presiden Kenyalang Prodigy Mohammad Syafiq Samry dan Ketua Kaum Kampung Entanggor, Sebuyau Tuai Rumah Mominn Jenfa Gem. -EDISI UKAS

Share

add comment