Strain Virus COVID-19 Di Sarawak Berbeza – Dr Sim

SELASA, 9 FEBRUARI 2021

SIBU: Analisis penjujukan genom COVID-19 yang menjangkiti masyarakat di Sarawak kini berbeza dengan yang dikesan pada bulan Mac hingga April tahun lepas. 

Perkara ini dimaklumkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dalam sesi penerangan secara langsung menerusi aplikasi Zoom yang dihoskan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting Ing Horh di laman Facebooknya pada Isnin. 

Katanya, jangkitan awal adalah dari strain Wuhan tetapi apabila Kluster Stutong dan Kluster Keranji Tabuan dikesan pada bulan lalu, analisis penjujukan genom yang dilakukan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menunjukkan strain baharu serupa seperti yang terdapat di Indonesia dan United Kingdom (UK).

“Sehingga kini masih belum tahu lagi akibat klinikal varian baharu ini. Itu mungkin menjelaskan mengapa di Sarawak diperhatikan bahawa 40 peratus daripada mereka yang dijangkiti menunjukkan gejala sedangkan di seluruh dunia hanya 20 peratus mempunyai gejala.

“Justeru, Kerajaan Sarawak memerlukan saintis, universiti dan pakar penyakit berjangkit untuk buat kajian cara apa yang menyebabkan Sarawak berbeza,” kata Dr Sim.

Tambahnya, bagi Kluster Pasai yang telah merebak secara meluas di beberapa bahagian di Sarawak, strain itu berasal dari Semenanjung dan sedikit dari UK.

Bagaimanapun, katanya strain UK bukan dari jenis B117 yang sangat cepat merebak daripada virus COVID-19.

“Ia bukan mutasi dari strain UK. Ia virus pemutasian. Dan sekarang di UK, mereka bercakap tentang strain Afrika. 

Sesi itu turut disertai Ketua Unit Penyakit Berjangkit Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Chua Hock Hin dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (PJKK) Polis, DSP Ariffin Bahar yang menyentuh mengenai situasi COVID-19 di Sarawak termasuk Sibu. -EDISI UKAS

Share

add comment