Surau Darul Iman Di Kampung Rangkang Siap Sepenuhnya

SELASA, 9 FEBRUARI 2021

SIMUNJAN: Projek pembinaan surau di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Kampung Rangkang akhirnya siap sepenuhnya selepas mengalami kelewatan dan penangguhan disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, beliau berasa lega apabila pembinaan Surau Darul Iman di Kampung Rangkang yang dibina dengan kos sebanyak RM500,000 itu siap dan dapat digunakan.

Menurut beliau, ini kerana sebelum ini penduduk Kampung Rangkang belum memiliki surau sendiri.

“Projek surau ini dibina menggunakan peruntukan RTP bagi tahun2018, namun disebabkan masalah tanah, pandemik COVID-19 dan sebagainya maka surau ini agak lambat siap tapi hari ini ia telah siap dan dapat digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Siap Bina Surau Darul Iman di Sadong Jaya pada Selasa.

Justeru itu, beliau turut merakamkan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam mendirikan surau tersebut.

Sementara itu, penduduk kampung Rangkang yang ditemui UKAS berasa gembira setelah surau yang telah lama dinantikan itu siap sepenuhnya. -EDISI UKAS

Share

add comment