ADUN Murum Harap Projek Naiktaraf Jalan Ke Ulu Jelalong Disenarai Dalam RMK-12

RABU, 10 FEBRUARI 2021

MURUM: Pelaksanaan projek menaiktaraf jalan ke Ulu Jelalong, Tubau dicadangkan disenarai di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, projek sepanjang 88 kilometer itu yang akan menghubungkan semua rumah panjang di Jelalong/Tubau dianggarkan menelan kos RM327.35 juta.

Ujarnya, selain mengemukakan permohonan dan kertas kerja cadangan projek kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), beliau juga memohon projek itu disenaraikan dalam projek Kerajaan Negeri Sarawak.

Bercakap semasa sesi perbincangan berkaitan isu jalan perhubungan utama ke kawasan Ulu Jelalong, Tubau pada Selasa, tambahnya, sebelum ini KPLB telah menyenaraikan projek tersebut dalam RMK-11 dengan peruntukan sebanyak RM17.4 juta dan kini dalam senarai tender.

Katanya, peruntukan RM6 juta untuk projek tersebut juga sedang dalam pelaksanaan di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA).

Sementara itu, semasa sesi perbincangan tersebut, pihak Syarikat Samling Plantation telah bersetuju untuk membaikpulih jalan balak dari Jambatan Sungai Pesu hingga ke Jalan Utama Bakun-Bintulu sepanjang 11 kilometer termasuk membina Jambatan Besi Sungai Pesu. -EDISI UKAS

Share

add comment