Awang Tengah Dengar Taklimat Operasi Loji Rawatan Air Gelugus, Lawas

RABU, 10 FEBRUARI 2021

LAWAS: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Gelugus, Lawas pada Isnin.

Dalam lawatan singkat itu, beliau telah diberikan taklimat berkenaan operasi semasa Loji Rawatan Air Gelugus oleh Ketua Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Limbang Frezzal Faisal.

Katanya, seramai 12 orang staf JBALB menguruskan Loji Rawatan Air Gelugus yang mempunyai kapasiti rawatan air sebanyak 5 MLD juta liter sehari dan mendapat bekalan air dari Sungai Gaya. 

Projek Loji Rawatan Air Gelugus ini merupakan Projek Rakyat yang telah dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) dengan kos sebanyak RM14.5 juta. 

Ianya meliputi pembaikan peralatan mekanikal dan elektrik, pembaikan Gaya Intake (tempat pam air mentah), pembaikan struktur tangki air di loji, pembaikan Bangunan Loji Rawatan Air dan penukaran sistem pengedosan bahan kimia bagi proses rawatan air.

Projek yang mengambil tempoh 15 bulan itu (tidak termasuk PKP) iaitu dari bulan Febuari 2019 hingga Julai 2020 telah pun beroperasi dan membekalkan air kepada penduduk di Daerah Lawas. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok. -EDISI UKAS

Share

add comment