Bayaran Pampasan Tanah Dibuat Mengikut Kadar Semasa Dan Munasabah

RABU, 10 FEBRUARI 2021

LAWAS: Pengambilan tanah oleh Kerajaan Sarawak dilakukan adalah untuk  tujuan membangunkan projek awam untuk kepentingan rakyat secara keseluruhannya. 

Timbalan Ketua Menteri yang juga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kita tidak dapat lari daripada mengambil tanah untuk projek kepentingan awam dan ianya dibuat mengikut mengikut perlembagaan. 

“Mana-mana mereka yang terlibat dalam pengambilan tanah adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan pampasan yang diberikan itu adalah munasabah dan dibuat mengikut kadar semasa. 

“Ianya bukan dibuat secara sembarangan sebaliknya diadakan berdasarkan kaedah-kaedah tertentu untuk kita pastikan bahawa nilai yang sepatutnya diberikan itu adalah berdasarkan keadaan semasa,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Pampasan Bagi Projek-Projek Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di Majlis Daerah Lawas pada Isnin. 

Penyampaian cek pampasan ini adalah untuk beberapa projek  pembangunan di bawah NRDA antaranya Projek Kampung Air Terjun, cadangan jalan baru Kampung Seberang Kedai, Projek Pemasangan Paip ke Kampung Murud Suang, pembinaan jalan daripada Punang ke Kampung Sungai Bangat dan pemasangan Water Tank Bukit Naga. 

Ini termasuk juga Projek Jalan Lawas Damit ke Long Lempaki, cadangan pembangunan Anjung Usahawan di Kampung Pemukat, cadangan pembinaan Anjung Usahawan Kampung Ladang Baru dan cadangan pembinaaan Anjung Usahawan Kampung Nor Islam dengan kesemua kos projek ini di bawah Kerajaan Sarawak. 

Sebanyak RM1.5 bilion telah diperuntukan kepada NRDA untuk melaksanakan projek-projek pembangunan meliputi Daerah Lawas dan Limbang dalam tempoh dua tahun ini. 

Sehingga kini sebanyak 167 projek pembangunan di bawah NRDA telah siap dan ada yang masih dalam pelaksanaan termasuk pembinaan Lapangan Terbang Lawas.

Pada majlis itu, seramai 74 orang penerima menerima pampasan mereka yang disampaikan Datuk Amar Awang Tengah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah NRDA Dato Ubaidilah Abdul Latif dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok. -EDISI UKAS

Share

add comment