Dakwaan Peruntukan Projek RTP Disalurkan Di Pusat Khidmat DUN Adalah Tidak Benar

RABU, 10 FEBRUARI 2021

LIMBANG: Pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang mula dilaksanakan pada tahun 2015 itu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) itu mengikut garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hanya mencadangkan nama-nama projek yang akan dilaksanakan kepada agensi pelaksana.

“Pelaksanaan projek RTP adalah melalui Jabatan Ketua Menteri, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah dan agensi pelaksana yang terpilih seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan Majlis Daerah.

“Peruntukan ini tidak disalurkan di Pusat Khidmat tetapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hanya mencadangkan nama-nama projek yang akan dilaksanakan kepada agensi pelaksana. 

“Jadi terdapat salah faham di kalangan masyarakat yang mengatakan peruntukan projek ini disalurkan terus kepada Pusat Khidmat tetapi sebenarnya tidak,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota di Kampung Pandam pada Isnin.

Tambahnya lagi, ADUN hanya diberikan keistimewaan dengan mencadangkan nama-nama projek berdasarkan permohonan dari kampung-kampung dan akan dipertimbang dan dilaksanakan secara berfasa.

Mengulas mengenai Projek RTP yang telah dilaksanakan di DUN Bukit Kota, Datuk Dr Abadul Rahman yang juga ADUN Bukit Kota menambah, beliau berpuas hati dan gembira apabila Projek RTP dari tahun 2016 hingga 2019 telah siap sepenuhnya. 

“Saya berasa gembira kerana projek-projek RTP 2016 hingga 2019 telah siap manakala projek RTP 2020 ada yang masih dalam pelaksanaan dan projek RTP 2021 masih belum dilaksanakan,” ujarnya. 

Antara projek RTP yang dilawati ialah Projek Pembinaan Dewan Kampung Lupak Ranggas yang bernilai RM200,000, Projek Menaik Taraf Dewan Mini Masjid Darul Muttaqin Kampung Gadong bernilai RM135,000, Projek Pembinaan Dewan Kampung Lubok Pangie bernilai RM400,000 dan Projek Menaik Taraf Gelanggang Futsal Tertutup Kampung Pandam dengan nilai RM350,000 termasuk membina stor dan ‘Portable Podium’.

Ketika ditanya sasaran kemudahan asas di kawasan DUN Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman memberitahu, sehingga 2021 sebanyak 70 peratus kemudahan asas telah disediakan dan tinggal 30 peratus yang masih memerlukan kemudahan asas.

Turut hadir Jurutera Awam JKR Bahagian Limbang Mahathir Jokeni, Pegawai Pertanian Pembangunan dan Pengembangan Bahagian Limbang Amirul Fikri Jemali, Jurutera Awam DID Bahagian Limbang Mohamad Izzizi Abing dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS

Share

add comment