Dakwaan Peruntukan RTP Berbentuk Wang Tunai Bersifat Fitnah, Sebaliknya Urusannya Dibuat Ikut Prosedur Ditetapkan Agensi Pelaksana

RABU, 10 FEBRUARI 2021

KUCHING: Dakwaan mengatakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berbentuk wang tunai dan diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah palsu dan bersifat memfitnah. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ADUN GPS bukan sahaja tidak memegang wang tunai, tetapi tidak melaksana dan menguruskan projek secara teknikal.

“Peruntukan itu bukannya wang tunai. Sebaliknya peruntukan ini dipegang oleh Unit Pelaksanaan dan Pemantauan Projek iaitu sebuah agensi kerajaan yang akan membuat bayaran kepada agensi pelaksana projek seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Dewan Bandaraya Kuching (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan sebagainya. 

“Malah, kontraktor Projek RTP itu dipilih oleh Pejabat Residen melalui proses cabutan undi,” tegasnya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyaksikan Penyerahan Projek Baik Pulih Masjid Darussaadah KampungTabuan Melayu kepada kontraktor pada Selasa. 

Projek RTP mula diperkenalkan pada tahun 2015 oleh bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dengan dana RM5 juta setahun bagi merapatkan jurang kawasan luar bandar dan bandar. 

Ujar Dr Hazland lagi, untuk RTP setiap wakil rakyat perlu mengemukakan permohonan projek selepas mendapat senarai daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengikut keperluan masing-masing. 

“Dalam hal ini, ADUN tidak pernah menguruskan apa-apa kewangan untuk mana-mana Projek RTP seperti yang diandai dan diputarbelitkan oleh sesetengah pihak.

“Sebaliknya, setiap Projek RTP yang dilaksanakan di kampung akan dipantau oleh ADUN dan JKKK untuk pastikan kontraktor melaksanakan projek mengikut spesifikasi dan tempoh masa yang ditetapkan. 

“Seperti yang berlaku hari ini, setiap permulaan Projek RTP akan diadakan penyerahan projek oleh agensi kerajaan kepada kontraktor yang disaksikan ADUN dan JKKK,” ujarnya. 

Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2015 hingga kini, Projek RTP telah berjaya menyelesaikan kepada beberapa permasalahan di kawasan DUN khususnya dalam pembangunan di kawasan luar bandar dan bandar. -EDISI UKAS

Share

add comment