Kerajaan Sarawak Menaruh Kepercayaan Kepada Kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong Supaya PRN Boleh Diadakan Ikut Perlembagaan

RABU, 10 FEBRUARI 2021

KUCHING: Kerajaan negeri di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menaruh kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak boleh diadakan mengikut lunas-lunas Perlembangaan Negeri tanpa menjejaskan keselamatan rakyat.

Dalam Perutusan Khas Tahun Baharu Cina 2021, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengakui bahawa PRN Sarawak telah dirancang untuk diadakan selewatnya-lewatnya pada awal bulan Ogos 2021.

Namun katanya, pengisytiharan Proklamasi Darurat di seluruh negara oleh Yang di-Pertuan Agong telah menidakkan kemungkinan untuk mengadakan PRN Sarawak.

“Ekoran keadaan pandemik COVID-19 yang semakin mengganas, kerajaan GPS  menaruh kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong supaya PRN boleh diadakan mengikut lunas-lunas Perlembangaan Negeri tanpa menjejaskan keselamatan rakyat”

“PRN sebenarnya telah dirancang oleh saya untuk diadakan pada tahun lepas, namun kita memilih untuk menangguhkannya memandangkan keadaan tidak mengizinkan. Kesihatan dan kesejahteraan rakyat kita menjadi keutamaan kerajaanGPS pimpinan saya,” katanya.

Dalam perutusan sama, Ketua Menteri tidak menafikan pandemik COVID-19 telah menimbulkan kesulitan yang luar biasa bagi masyarakat.

Namun jelasnya, rakyat Sarawak amat bertuah kerana sejumlah RM3 bilion dalam bentuk tunai, subsidi, penangguhan pembayaran dan pinjaman telah diberikan oleh kerajaan negeri menerusi lima pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Ini katanya, termasuk bantuan daripada kerajaan Persekutuan menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk meringankan beban rakyat, perniagaan dan komuniti perdagangan.

“Rakyat Sarawak bertuah kerana dapat menerima bantuan dari kerajaan negeri dan persekutuan. Sebagai contoh, anda menerima bantuan tunai di BPN, anda juga menerima bantuan tunai yang serupa di bawah BKSS, pada masa yang sama diberi potongan bil elektrik dari kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan”

“Saya percaya rakyat di negeri lain tidak mendapat dua bantuan istimewa sedemikian, hanya di Sarawak,” jelasnya.

Menyentuh mengenai keputusan pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau menambah, Sarawak bernasib baik kerana mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sendiri dengan hanya melaksanakan PKP di Sibu, Kapit Dan Song agar perniagaan di daerah lain dapat terus beroperasi bagi memperkukuhkan ekonomi.

“Sarawak juga beruntung kerana memiliki kuasa untuk membuat keputusan sendiri. Walaupun menempuh pelbagai cabaran, saya berani mengatakan bahawa ekonomi Sarawak masih kuat,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memberitahu, bantuan tahunan akan diteruskan kepada 14 buah sekolah menengah persendirian Cina termasuk sekolah-sekolah Rrendah Cina di seluruh Sarawak.

Katanya, geran kerajaan negeri sebanyak RM10 juta telah diserahkan bagi tujuan tersebut sebagai menyambung usaha yang telah dimulakan oleh bekas Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

“Sistem pendidikan sekolah persendirian Cina sedia ada, yang juga melibatkan ramai pelajar bukan Cina, tidak harus diabaikan kerana ia juga menyumbang kepada pembangunan sumber manusia negeri ini lebih-lebih lagi dalam konteks ekonomi serantau yang didahului oleh ekonomi negara China,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu menyeru masyarakat Cina untuk terus berusaha ke arah memperkukuhkan perpaduan walaupun sambutan untuk tahun ini tidak dapat diraikan seperti sebelum. -EDISI UKAS

Share

add comment