Lima Projek RTP ADUN Balingian Tahun 2020 Siap

RABU, 10 FEBRUARI 2021

MUKAH: Sebanyak lima projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Balingian bagi tahun 2020 telah siap dan diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkaitan.

Simbolik penyerahan projek berkenaan telah disempurnakan pada Selasa dan turut disaksikan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi.

Menurut Abdul Yakub, senarai projek-projek tersebut adalah bina baru jalan simen di Kampung Kuala Jebungan Mukah; bina baru jeti Rumah Seliau, Sungai Liuk Balingian; bina baru parit konkrit Lorong Orang Kaya, Abang Abong 4, Balingian; bina parit Kampung Lintang, Balingian dan naiktaraf sistem saliran di Kampung Masjid, Balingian.

“Saya harap dengan adanya projek RTP ini, rakyat akan dapat menikmati kemudahan yang kerajaan negeri sediakan untuk mereka.

“Terima kasih kepada agensi pelaksana kerana telah menyiapkan projek tersebut dalam masa yang diberikan. Dan terima kasih juga kepada kerajaan negeri kerana memberi peruntukan melaksanakan membuat projek-projek berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pada sebelah petang, Abdul Yakub berkesempatan meninjau dan menyerahkan sebanyak 160 bakul makanan kepada mangsa banjir di Kampung Sitieng dan Kuala Kenyana, Mukah.

Beliau turut memberi kata-kata semangat kepada mangsa agar terus bersabar menghadapi dugaan akibat fenomena alam itu. – EDISI UKAS

Share

add comment