Peruntukan RM60 Juta Diluluskan Bagi Pembinaan Kompleks Pejabat MPP Baharu

RABU, 10 FEBRUARI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi pembangunan projek kompleks pejabat Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang baharu.

Bercakap ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu, Pengerusi MPP, Ir. Lo Khere Chiang berkongsi kegembiraannya dengan merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri di atas persetujuan meluluskan dana sebanyak RM60 juta bagi projek berkenaan.

Menurutnya, pejabat baharu tersebut akan dibina berkonsepkan bangunan hijau atau ‘green building’ dan berdekatan dengan Pusat Hidupan Liar Semenggoh di sini.

“Pelbagai kemudahan disediakan di pejabat baharu ini kelak, antaranya perpustakaan, auditorium, kemudahan sukan dan banyak lagi,” katanya.

Terdahulu, hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Sri Prof. Dr Sim Kui Hian, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Pengerusi MPP, Dato’ Ahmad Ibrahim. -EDISI UKAS

Share

add comment