PKP: Pengagihan Bekalan Makanan Masih Diteruskan Di Sibu Dan Kapit

RABU, 10 FEBRUARI 2021

KUCHING: Seramai 48,764 Ketua Isi Rumah (KIR) di Bahagian Sibu yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diagihkan bantuan bekalan makanan setakat ini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, penghantaran kepada baki 24,047 lagi KIR di Sibu akan dipercepatkan dalam minggu ini.  

Katanya, jumlah isi rumah di Sibu yang terjejas akibat PKP adalah seramai 72,857 orang manakala 16,000 lagi di Kapit dan Song.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu telah diarahkan untuk mempercepatkan pengagihan baki 24,047 daripada keseluruhan 50,245 isi rumah yang terkesan di kawasan bandar Sibu pada minggu ini,” katanya dalam satu sidang media di Kuching pada Rabu.

Menurut Datuk Amar Awang Tengah, kesemua 1,270 rumah panjang dengan KIR seramai 22,612 di Sibu termasuk 6,681 KIR di Kapit telah menerima bekalan makanan.

“Manakala untuk Kapit, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian berjaya menyampaikan bantuan makanan kepada 6,681 dari jumlah 16,000 isi rumah yang terkesan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diarahkan untuk memastikan semua tempat jualan di kawasan PKP dibekalkan dengan makanan yang mencukupi.-EDISI UKAS

Share

add comment