RM350,000 Diluluskan Bagi Projek Baik Pulih Masjid Darul Salam Kampung Tanjung Kelaso

RABU, 10 FEBRUARI 2021

SIMUNJAN: Peruntukan sebanyak RM350,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2021 telah diluluskan untuk membaik pulih Masjid Darul Salam Kampung Tanjung Kelaso, Sadong Jaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, sekiranya masjid berkenaan tidak dapat dibaik pulih, ia akan dibina baharu.

Jelas beliau, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan kerja-kerja pemeriksaan struktur bangunan masjid tersebut pada minggu depan.

“Saya telah meminta pihak JKR melakukan kerja pemeriksaan ke atas masjid tersebut bagi mengetahui sama ada ia selamat digunakan ataupun tidak.

“Sekiranya ia tidak selamat maka masjid tersebut tidak boleh dibaik pulih sebaliknya ia perlu dibina baru dan RTP yang telah lulus sebelum ini akan ditarik balik supaya dapat digunakan untuk keperluan yang lain di kawasan ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui ketika melakukan tinjauan di Masjid Darul Salam Kampung Tanjung Kelaso, Sadong Jaya pada Selasa.

Turut bersama dalam tinjaun itu adalah Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan, Ustaz Hazimin Shakir Said, Ketua Kampung Tanjung Kelaso, Akup Bahar serta pegawai JKR Bahagian Samarahan. -EDISI UKAS

Share

add comment