Sambut Tahun Baharu Cina 2021 Dengan Norma Baharu, Patuh SOP

RABU, 10 FEBRUARI 2021

KUCHING: Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini pastinya sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang mana rakyat perlu menyambut dengan norma baharu dan secara sederhana berikutan penularan pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengingatkan setiap masyarakat terutama bagi yang akan menyambut perayaan itu untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menurut beliau, dengan adanya platfrom digital masa kini, ia menjadi penghubung khusus bagi rakyat.

“Tahun Baharu Cina bagi tahun ini akan diraikan hanya bersama ahli keluarga terdekat sahaja dan dengan pematuhan SOP.

“Walaupun tidak dapat bersama-sama dengan ahli keluarga dan rakan-rakan dari dekat dan jauh, kita dapat menggunakan teknologi canggih seperti persidangan video dan media sosial untuk terus berhubung di musim perayaan ini,” katanya dalam Perutusan Khas Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2021 pada Rabu.

Justeru katanya, beliau yakin bahawa rakyat mampu mendepani segala cabaran yang berlaku dalam negara pada masa ini dan mematuhi arahan berkaitan SOP untuk mengekang dan mengawal penularan wabak COVID-19 demi keselamatan masing-masing.

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah berkata, prihatin dengan rakyat yang terkesan akibat pandemik ini, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan terus menyediakan bantuan kewangan dan bukan kewangan.

“Baru-baru ini Kerajaan Sarawak di bawah pemerintahan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg juga telah menyediakan dan meluluskan bantuan kewangan dan bukan kewangan melalui lima pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang bernilai RM3.14 bilion termasuk tambahan RM141.7 juta bantuan kewangan untuk Perusahaan kecil dan Sederhana (PKS),” katanya.

Ujar beliau lagi, Kerajaan Negeri juga mempunyai komitmen untuk memastikan setiap rakyat Sarawak akan diberikan vaksin COVID-19 secara percuma.

Beliau berharap, semua rakyat akan dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa pada tahun akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang telah menunjukkan keberanian, dedikasi dan profesionalisme dalam memerangi pandemik untuk memastikan rakyat kekal selamat. -EDISI UKAS

Share

add comment