ADUN Senadin Hulur Sumbangan Bantuan Makanan Dan ‘Ang Pau’ Kepada Golongan Kurang Berkemampuan

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

MIRI: Golongan kurang berkemampuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin terus mendapat perhatian setiap kali musim perayaan.

Bersempena Tahun Baharu Cina kali ini, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin telah melawat dan menghulurkan bantuan kepada 15 Ketua Isi Rumah (KIR) yang kurang berkemampuan di Tudan Desaras pada Rabu.

Beliau telah menghulurkan sumbangan bantuan berupa bahan makanan dan “ang pau”.

Menurut Datuk Lee yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, ini merupakan aktiviti tahunan beliau dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Senadin setiap kali menjelang setiap perayaan termasuk Tahun Baharu Cina, Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Krismas.

“Ini bertujuan berkongsi kegembiraan secara bersama bagi golongan kurang berkemampuan ketika sambutan perayaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang awam agar terus berwaspada dengan penularan  Pandemik COVID-19 dan terus mematuhi garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). -EDISI UKAS

Share

add comment