Ahli Parlimen Kota Samarahan Hulur Sumbangan Tahun Baru Cina

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

ASAJAYA: Meskipun suasana sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini agak suram, namun perayaan itu masih membawa seribu makna kepada masyarakat Cina khususnya di Sarawak secara keseluruhannya.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang telah melakukan lawatan secara mengejut terhadap wakil-wakil masyarakat Cina di Dewan Persatuan Masyarakat Cina Jalan Muara Tuang dan Pejabat Daerah Asajaya pada Rabu.

Lawatan itu adalah bagi menyerahkan sumbangan buah limau dan angpau kepada masyarakat di beberapa kawasan termasuk di Pejabat Daerah Asajaya, Jalan Muara Tuang (Stakan Cina) di Samarahan serta kawasan Palah, Batu 29 di Jalan Kuching-Serian.

Rubiah ketika ditemui berharap sambutan kali ini disambut dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan norma baharu bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Pada tahun sebelumnya katanya, beliau akan mengadakan kunjungan dari rumah ke rumah untuk menyantuni dan menghulurkan bantuan terus kepada masyarakat Cina.

“Namun kali ini, saya hanya menyampaikan bantuan menerusi wakil-wakil masyarakat untuk disampaikan kepada mereka yang memerlukan bagi meraikan Tahun Baru Cina,” jelasnya.

Turut serta dalam ziarah berkenaan adalah Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Da’an, Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat, Pemanca Cina Bahagian Samarahan, Liew Shark Shen, Kapitan Stakan Cina, Chai Hen Fui, Kapitan Cina Pasar Muara Tuang, Sim Mong Chai dan beberapa lagi wakil-wakil masyarakat.-EDISI UKAS

Share

add comment