Ahli Parlimen Kota Samarahan Serah Sumbangan Kepada Masyarakat Cina Di Pasar Muara Tuang

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

KOTA SAMARAHAN: Sambutan Tahun Baru Cina di bahagian ini dimeriahkan lagi dengan kunjungan santai oleh Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang terhadap masyarakat Tionghua di kawasan Cina Pasar Muara Tuang.

Ianya merupakan kebiasaan bagi beliau untuk mengunjungi masyarakat Cina di kawasan setiap kali menjelang sambutan Tahun Baru Cina setiap tahun.

Dalam program santai pada Rabu, Rubiah Wang telah menyerahkan sumbangan buah limau beserta angpau kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, ketika ditemui beliau berkata, pendekatan menyantuni masyarakat Cina merupakan pendekatan yang telah diambil sejak diamanahkan menjadi Ahli Parlimen di kawasan tersebut.

Katanya lagi, dengan mendekati masyarakat secara santai, masalah dan luahan rakyat dapat diselami secara lebih telus dan secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan beliau dengan komuniti cina di kawasan tersebut.

“Diharapkan bantuan ini dapat membolehkan masyarakat Cina Pasar Muara Tuang ini menyambut Tahun Baru Cina dalam suasana yang penuh kegembiraan walaupun dalam tempoh Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB),” jelasnya.

Dalama pada itu, sempena perayaan Tahun Baru Cina juga beliau menyarankan kepada warga masyarakat Cina supaya menyambut perayaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan negeri.

“Langkah ini penting bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri ini,” katanya lagi.

Turut hadir bersama, Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Da’an dan Kapitan Cina Pasar Muara Tuang, Sim Mong Chai. -EDISI UKAS

Share

add comment