Bangunan Balai Bomba Mini Untuk Keperluan PBS Bakti Gabungan Dan Pangkalan Madang Siap

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

LIMBANG: Pembinaan Bangunan Balai Mini untuk kegunaan bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bakti Gabungan dan PBS Pangkalan Madang telah siap. 

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang dalam kenyataannya pada Rabu, satu majlis penyerahan kunci dan bangunan Balai Mini PBS telahpun diadakan di Kampung Pengkalan Madang. 

“Bangunan Balai Bomba Mini ini dibina pada Julai 2020 dan diserah secara rasminya pada hari ini. 

“Diharapkan kemudahan yang disediakan ini akan dapat dimanfaatkan oleh penduduk kampung semasa berhadapan dengan bencana,” katanya. 

Majlis Penyerahan kunci dan bangunan ini telah disempurnakan wakil kontraktor kepada Pengerusi PBS Bakti Gabungan Murnay Bakar dan Setiausahanya Raman Tusin dan PBS Pangkalan Madang diwakili Mandan Malek, Setiausaha Lalam Sambat dan Bendahari John Sapik. 

Ianya telah disaksikan Ketua Balai Bomba Clarence D Primus Tiandun, Urusetia PBS Fadhli Buyong dan Penolong Jurutera, Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang Siti Shazwani Anip. -EDISI UKAS

Share

add comment