Borang Pendaftaran Imunisasi COVID-19 Mula Diedarkan Di Kapit

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

KAPIT: Borang pendaftaran untuk menerima imunisasi COVID-19 telah mula diagihkan kepada penduduk di Kapit.

Borang tersebut diedarkan kepada penduduk 18 tahun ke atas di rumah panjang Merit, Peraran dan Pelagus.

Sementara itu, semasa penghantaran borang imunisasi COVID-19 pada Rabu, Menteri Muda Utiliti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang mengingatkan penduduk di kawasan Merit menghadkan pergerakan mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ujarnya, mereka tidak perlu turun ke Pekan Belaga jika tiada urusan penting dan kekal berada di rumah panjang.

Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong yang turut hadir juga berharap penduduk rumah panjang mematuhi arahan untuk kekal di rumah semasa PKP sedang dilaksanakan.

Tambahnya, beliau lega apabila penularan Covid-19 yang berlaku di Rumah Pilai kini kembali pulih hasil daripada kerjasama penduduk rumah panjang.

Mengenai pengagihan bantuan makanan yang juga diedarkan pada hari yang sama, beliau berkata, bantuan Kerajaan Negeri tersebut diagihkan bagi meringankan beban penduduk yang masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Datuk Liwan dan Datuk Wilson Ugak bersama-sama mengagihkan bantuan makanan kepada 685 isi rumah daripada 82 rumah panjang Merit, Peraran dan Pelagus di Jelatong, Nanga Metah, Merit, Kapit. -EDISI UKAS

Share

add comment