Kerajaan Sarawak Akan Pastikan Semua Rakyatnya Terima Vaksin COVID-19 Menjelang Ogos Ini

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan pastikan semua rakyat di negeri ini menerima vaksin COVID-19 menjelang Ogos 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata untuk itu Kerajaan Sarawak akan bekerjasama penuh dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan vaksinisasi ini berjalan lancar di Sarawak. 

“Kita sedar di Sarawak, kemudahan perubatan tidak seperti yang terdapat di Semenanjung kerana masalah logistik dan kekurangan kepakaran.

“Disebabkan itu, kita mahu semua rakyat di negeri ini mendapat vaksin secepat mungkin untuk mengurangkan risiko dijangkiti virus COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baharu Cina 2021 di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak pada Selasa. 

Dr Sim yang juga Ahli Kehormat Operasi COVID-19 menambah pihaknya juga akan berusaha membantu daripada pelbagai aspek termasuk, logistik, tenaga kerja dan wang agar program imunisasi COVID-19 di Sarawak berjalan lancar.

“Kerajaan Sarawak mahu program imunisasi ini disegerakan kerana kita mahu mengurangkan orang dijangkiti COVID-19. Sekiranya sudah dijangkiti akan dapat dirawat dengan cepat agar tidak ke peringkat yang lebih serius.

“Disebabkan itu, kita akan bekerjasama dengan KKM sekarang untuk memastikan program imunisasi ini berjalan lancar dan semua rakyat Sarawak akan menerima vaksin menjelang Ogos ini,” tambahnya. 

Sementara itu, ujar Dr Sim lagi Kerajaan Sarawak bersedia untuk menanggung kos pembelian vaksin sekiranya Kerajaan Pusat tidak dapat untuk membekalkannya dalam tempoh tersebut.

“Kalau ikutkan Kerajaan Pusat, proses imunisasi ini hanya akan selesai pada bulan Februari tahun depan, tetapi kita mahu di Sarawak ia dipercepatkan iaitu pada bulan Ogos ini,” ujarnya. 

Beliau turut memberitahu proses imunisasi ini akan melalui tiga fasa.

Katanya, fasa pertama membabitkan petugas barisan hadapan, fasa kedua pula membabitkan kumpulan berisiko iaitu warga emas atau individu yang mengalami masalah mobiditi sepert penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi, manakala fasa ketiga pula membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas. 

Sementara itu, terdahulu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak Khirudin Drahman dalam ucapannya berkata, kempen keselamatan kebakaran pada musim perayaan sentiasa menjadi kelaziman diadakan bagi mengelakkan sikap 3L iaitu Lupa, Lalai dan Leka. 

“JBPM Negeri Sarawak mengambil pendekatan dengan mengadakan kempen ini secara maya dan video yang akan disajikan kepada masyarakat di luar sana melalui saluran media sosial. 

“Antara kempen yang diadakan adalah filem pendek terbitan JBPM Negeri Sarawak (pertama kali diadakan melibatkan pegawai dan anggota Bomba), Ucapan Selamat Tahun Baharu Cina 2021 Pegawai, anggota dan orang awam dan Siaran Langsung Juh Beloya Sempena Tahun Baharu Cina. 

“Turut tidak dilupakan ialah warga emas dan kanak-kanak serta golongan yang memerlukan menerusi Sanitasi Awam dan pembersihan di Lions Club Nursery Home, Kuching dan Sanitasi Awam dan Latihan Fire Drill di The Salvation Army Childrens’s Home pada 8 Februari serta Kempen Derma Darah pada 9 Februari 2021,” katanya. 

Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak Khirudin Drahman, Timbalan Pengarah JBPM Sarawak Zainal Madasin, Pengerusi Persatuan Wartawan Komanwel Alice Wee dan Pengurus Sumber Manusia dan Perkhidmatan Perniagaan KKB Engineering Kho Poh Joo. -EDISI UKAS

Share

add comment