Ketua Menteri Luluskan Permohanan Persatuan Kedayan Limbang Dapatkan Tapak Tanah, Bina Bangunan Berjumlah RM5.9 Juta

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

LIMBANG: Persatuan Kedayan Limbang melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di atas kelulusan permohonan sebidang tanah seluas 1.6 ekar untuk membina pejabat mereka dan juga komponen-komponen lain seperti dewan dan premis perniagaan.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, permohonan ini telah diluluskan pada tahun 2019.

“Setelah lama memohon akhirnya Ketua Menteri meluluskan permohonan Persatuan Kedayan ini pada tahun 2019.

“Selepas itu Persatuan Kedayan Limbang telah pun membuat perancangan dan mereka memerlukan sejumlah kos yang agak besar untuk pembinaan ruang pejabat dan dewan yang mana selepas mereka membuat perbincangan dengan konsultan kos yang diperlukan adalah RM5.9 juta.

“Permohonan tersebut telah pun diajukan kepada Ketua Menteri pada penghujung tahun lepas dan telah pun diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika ditemui selepas Penyerahan Cek Ketua Menteri Sarawak dan Geran Peruntukan Pembangunan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) ADUN Bukit Kota di Bilik Seminar Anjung Usahawan Limbang pada Selasa. 

Dengan adanya peruntukan ini akan dibina pejabat, dewan dan lain-lain yang mempunyai kepentingan kepada Persatuan Kedayan Limbang. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut menyerahkan MRP ADUN Bukit Kota yang keseluruhannya berjumlah RM245,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pahlawan, JKKK Kampung Limpaki, JKKK Rh Senggat, JKKK Kampung Benuas, JKKK Kampung Seberang Kedai, Masjid Kampung Gadong dan Masjid Kampung Pahlawan.

Hadir sama Pemanca Abu Bakar Tinggal, Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang Penghulu Sahat Bagol dan Penghulu Yusop Dollah. -EDISI UKAS

Share

add comment