Kuching City FC Sasar Slot Ke Liga Super 2022

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

KUCHING: Wakil Sarawak di saingan Liga Premier 2021, Kuching City FC meletakkan sasaran untuk beraksi di pentas Liga Super pada musim hadapan.

Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman akui ia bukan tugas mudah kerana menyedari banyak pasukan lain yang tidak kurang hebatnya turut mengintai slot ke saingan berprestij itu.

Justeru jelasnya, pengurusan Kuching City FC telah merangka beberapa strategi dan pelan tindakan untuk memastikan misi tersebut dapat dicapai.

“Sudah tentu sasaran kita untuk naik ke Liga Super. Kita telah meletakkan strategi-strategi dan pelan tindakan untuk mencapai sasaran itu,” katanya ditemuramah selepas merasmikan jersi rasmi Kuching City FC 2021 di Taman Tema D-Virtual Park, Kota Samarahan pada Khamis.

Menurut Fazzrudin, Kuching City FC juga telah melantik jurulatih berprofil tinggi, Irfan Bakti sambil dibantu Sulaiman Hussin dan Wan Jamak Wan Hasan untuk membimbing pasukan itu pada tahun ini.

Malah, pasukan itu juga diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain import asing iaitu Yuta Suzuki, Hudson Dias, Aylton Alemao dan Bryan Jones.

Jersi Kuching City FC pada musim ini menampilkan lima varian warna dan corak dengan jersi pemain berwarna putih, biru dan hijau manakala jersi penjaga gol berwarna hitam dan oren.

Pada tahun ini, Kuching City FC turut menerima tajaan daripada Serba Dinamik Holdings Berhad, Lea Sports Centre, Yakult Malaysia, Khaimal Borneo, Malaysia Airlines, Ahmad Tamar Sdn Bhd, Grafiq Avenue dan Grab & Go Burger, A.R Bite & Slurp Company.

Saingan Liga Malaysia 2021 yang dijadual bermula pada 26 Februari ditunda ke 5 Mac depan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – EDISI UKAS

Share

add comment