KWKPK Rayu Usahawan Wanita Sarawak Daftar Perniagaan

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Sarawak merayu para usahawan wanita di negeri ini untuk mendaftar dan mendapatkan lesen perniagaan mereka.

Menterinya, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, permasalahan mengenai peniagaan belum dilesenkan masih banyak di negeri ini dan perkara tersebut menyukarkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka.

“Kami sekali lagi merayu kepada usahawan wanita untuk mendaftarkan perniagaan mereka sama ada melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), manakala bagi di kawasan pedalaman yang mana tiada LHDN boleh buat di pejabat daerah atau dapatkan permit daripada pihak berkuasa tempatan dan itu paling mudah sekali,” jelas beliau dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Wanita Dan Keluarga Sarawak (MWKS) di sini pada Khamis.

Terdahulu, Dato’ Sri Fatimah telah menyampaikan watikah pelantikan ahli bagi tahun 2021 hingga 2022 kepada seramai 21 orang ahli MWKS baharu selepas mesyuarat tersebut.

Beliau berkata, ahli-ahli MWKS yang baharu itu akan membantu golongan yang terkesan seperti wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya, warga emas dan golongan terpinggir menangani impak COVID-19 dengan menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Kita juga telah melihat impak COVID-19 terhadap wanita, kanak-kanak warga emas, orang kurang upaya, institusi keluarga dan juga dari segi kesejahteraan sosial,” katanya.-EDISI UKAS

Share

add comment