Pasar Tamu Marudi Lengang, Hasil Jualan Peniaga Menurun

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

MARUDI: Suasana di Pasar Tamu Marudi tidak seperti dahulu, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina suasananya suram dengan tidak ramai pengunjung dan menyebabkan hasil jualan juga berkurangan. 

Dahulunya, Pasar Tamu Marudi ini merupakan lokasi yang sering dikunjungi oleh orang ramai termasuk pengunjung luar terutamanya menjelang musim perayaan.

Selain hanya beroperasi pada sebelah pagi sahaja, Pasar Tamu Marudi juga beroperasi pada sebelah malam yang dikenali sebagai Pasar Malam Tamu Marudi ataupun PAMATA oleh penduduk tempatan di sini. 

Bagaimanapun, situasi ini telah berubah disebabkan penularan wabak COVID-19.

Hasil tinjauan pada pagi Rabu didapati keadaan pasar agak lengang dan hanya beberapa peniaga sahaja yang kelihatan masih menjalankan perniagaan mereka. 

Beberapa orang peniaga yang ditemui menyatakan hasil jualan mereka di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menurun dan mereka terpaksa jua menjalankan perniagaan bagi kelangsungan hidup. 

Keadaan ini juga didorong oleh kesedaran penduduk mengenai bahayanya virus COVID-19 yang melanda ketika ini selain faktor ekonomi yang menjadi penyumbang kepada keadaan ini. 

Selain peniaga yang menjual barangan keperluan harian, peniaga gerai makanan turut menghadapi situasi yang sama apabila jumlah mereka yang makan turut berkurangan. -EDISI UKAS

Share

add comment