Persediaan SPM 2020 Di Daerah Limbang Turut Terjejas, Bagaimanapun Yakin P&P Alternatif PPD Limbang Berkesan Catat Keputusan Positif

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

LIMBANG: Penularan pandemik COVID-19 pada tahun lepas telah menyebabkan sesi pembelajaran pelajar terjejas khususnya mereka yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Sehubungan itu, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, menghargai dan mengucapkan tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Limbang di atas usaha mereka ini dan percaya dengan usaha yang jitu dan sokongan daripada ibu bapa, pelajar-pelajar akan dapat memberi keputusan yang terbaik bagi SPM mereka nanti. 

“Kesan daripada pandemik COVID-19 sesi pembelajaran pada tahun lepas agak terjejas berikut pelaksanaan beberapa langkah keselamatan yang diambil oleh kerajaan dalam mengawal penularan wabak tersebut, adakalanya mereka belajar dari rumah kemudian dibenarkan ke sekolah, kemudian tidak dibenarkan lagi.

“Kemudian ia terpaksa melalui beberapa peringkat pengubahsuaian dan sekarang kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dilaksanakan dari rumah yang mana ia memerlukan kreativiti dan inovasi guru-guru.

“Ia juga terpaksa diubah suai kerana tidak semua rumah atau kawasan mempunyai akses capaian internet. 

“Saya difahamkan di Daerah Limbang masalah tersebut berlaku tetapi ia dapat di atasi dengan pendekatan lain,” katanya. 

Bercakap semasa ditemui selepas menyerahkan simbolik Banner dan Bantuan Alat Tulis Kepada Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah di Daerah Limbang Untuk Pelajar-Pelajar SPM 2020 pada Selasa, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota yakin keputusan SPM di Daerah Limbang akan dapat dipertingkatkan di kedudukan yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

Sementara itu, menurut Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Matzinan Wahit, PPD Limbang telah banyak mengadakan pertemuan bersama barisan kepimpinan kelima-lima buah sekolah menengah di Daerah Limbang ini. 

“PPD telah banyak mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan di kelima-lima buah sekolah menengah tersebut. 

“Mereka telah membentangkan persediaan yang dilaksanakan di peringkat sekolah masing-masing sejak tahun 2020 sehingga minggu lepas.

“Pendekatan yang digunakan oleh sekolah-sekolah menengah tersebut didapati sistematik dan tersusun dengan mematuhi garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” ujarnya. 

Pada tahun ini seramai 715 orang pelajar SPM 2020 akan menduduki perperiksaan mereka pada 22 Februari ini melibatkan 5 buah sekolah menengah yang ada di Daerah Limbang. -EDISI UKAS

Share

add comment