Rumah Panjang Perlu Dilengkapi Alat Pengimbas Suhu, Pastikan Pengunjung Bebas COVID-19

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

SARIKEI: Rumah panjang perlu dilengkapi dengan alat pengimbas suhu untuk memastikan pengunjung dalam keadaan sihat dan selamat daripada jangkitan COVID-19.

Menteri Muda Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, selain itu, QR Kod MySejahtera juga penting untuk ditempatkan di pintu masuk setiap rumah panjang.

“Ini adalah salah satu usaha untuk memerangi penularan serta memutuskan rantaian COVID-19 dan memastikan keselamatan komuniti di kawasan rumah panjang dan juga kampung.

“Tuai rumah perlu memastikan pelawat yang berkunjung ke rumah panjang wajib menjalani pemeriksaan suhu badan menggunakan alat pengimbas suhu yang ditempatkan di pintu masuk rumah panjang masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Penyerahan Cek dan alat pengimbas suhu dan QR Kod MySejahtera bagi rumah panjang Zon Sarikei di Dewan Sri Nyelong, Sarikei pada Khamis.

Pada majlis yang sama beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang turut menyampaikan cek peruntukan daripada Kerajaan Pusat berjumlah RM113,000 kepada 33 buah kelab, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Datu Len juga menyampaikan sumbangan limau mandarin kepada masyarakat Cina yang akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina. -EDISI UKAS

Share

add comment