Sambutan Perayaan Erat Perpaduan Antara Kaum Di Sarawak

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

KUCHING: Berbeza dengan tahun sebelumnya, sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini disambut secara sederhana dan uniknya di Sarawak, perayaan ini bukan sahaja diraikan oleh masyarakat cina sahaja malah kaum lain turut sama meraikan.

Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam perutusan khasnya bersempena Tahun Baru Cina pada Khamis memberitahu, melalui  perayaan ini, rakyat dapat memperbaharui dan mengeratkan hubungan silaturahim yang terbina dalam kalangan pelbagai etnik di negeri ini.

Katanya, ini jelas menunjukkan bahawa rakyat dalam tempoh 50 tahun yang lalu saling menghormati antara satu sama lain dan berkongsi keinginan yang sama untuk hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Selain itu, beliau menambah, setiap rakyat memainkan peranan penting  dalam merealisasikan matlamat Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

Menurutnya, tugas membangunkan negeri tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata, malah sektor swasta perlu  bekerjasama dengan kerajaan dan mengambil cabaran ini bagi mencapai agenda pembangunan bersama.-EDISI UKAS

Share

add comment