Seorang Warden Positif COVID-19, Seluruh Penjara Bintulu Dikenakan ‘Lockdown’

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

BINTULU: Seorang warden di Penjara Batu 11, Jalan Bintulu-Miri  telah didapati positif COVID-19 dan menyebabkan seluruh penjara dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan atau ‘lockdown’ serta merta. 

Perkara ini telah disahkan Ahli Parlimen Bintulu Dato’ Seri Tiong King Sing kepada media pada Selasa selepas mendapat maklumat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu. 

Katanya, JPBB Bintulu telah mengambil tindakan segera dengan mengenakan arahan kuarantin terhadap warden dan banduan lain yang  terlibat.

“Ini bagi membolehkan pengesanan kes aktif (ACD) dijalankan. Kira-kira dalam 700 orang jumlah yang terlibat dimana terdiri daripada warden penjara, keluarga mereka dan banduan yang akan menjalankan saringan pemeriksaan dan ujian calitan COVID-19 dan juga dikenakan kawalan pergerakan selama 14 hari.

“Sebahagian daripada warden penjara dan banduan telah diarahakan untuk berkuarantin di dalam kawasan penjara. 

“Manakala warden yang lain berserta keluarga mereka telah diletakkan untuk menjalani kuarantin di Stadium Muhibah,” katanya. 

Dalam pada itu, Dato Seri Tiong mengulangi kenyataannya bahawa JPBB Bintulu termasuk Pejabat Kesihatan Bintulu amat memandang serius kes-kes jangkitan dan penularan wabak COVID-19 dan sedang giat memerhati situasi wabak ini di bahagian lain.

Ujarnya lagi, tindakan dan arahan ini bukanlah bermaksud atau mempunyai niat untuk menyukarkan sesiapa termasuk warden penjara yang terlibat sebaliknya sebagai langkah berjaga-jaga sebagai kunci utama untuk mengekang penyebaran wabak yang merbahaya ini. 

Beliau berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama yang tinggi, supaya tugas memerangi wabak ini dapat dilakukan dengan lebih efektif dan berkesan. -EDISI UKAS

Share

add comment