Seramai 324 Peserta Dari DUN Bukit Semuja Terima Bantuan AFF Berjumlah RM540,300

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

SERIAN: Seramai 324 peserta dari 27 buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja akan menerima bantuan daripada Input Pertanian Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) bagi tahun 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, bantuan input pertanian berkenaan akan diagihkan secara berperingkat.

Tambah beliau, pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh kerajaan melalui jabatan dan agensi di bawahnya bertujuan meringankan kos sara hidup petani dan peladang.

“Bantuan Input pertanian merangkumi bahan tanaman, baja, racun serangga dan peralatan pertanian. Jadi para peserta diingatkan agar menggunakan bantuan input pertanian dengan sebaik-baiknya.

“Ini penting agar matlamat dapat dicapai bagi mendapatkan hasil yang baik dan berkualiti sekaligus membantu meningkatkan pendapatan peserta nanti,” katanya semasa majlis simbolik penyerahan input pertanian di bawah program AFF 2020, Bukit Semuja pada Khamis.

Bantuan berjumlah RM540,300 itu merangkumi pelbagai aktiviti pertanian seperti aktiviti pemulihan durian, tanaman nanas, tanaman buah-buahan tidak bermusim, tanaman pisang, benih durian Musang King, tanaman halia, tanaman lemon, tanaman sayuran, fertigasi.

Selain itu, bantuan itu meiputi peningkatan produktiviti kelapa sawit dan lada serta tanaman baru kopi.-EDISI UKAS

Share

add comment