Tanaman Nanas ‘Keningau Diomand’ Berpotensi Ditanam Di Daerah Limbang

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2021

LIMBANG: Varieti Nanas Keningau Diomand yang hanya terdapat di Keningau, Sabah sesuai ditanam di Daerah Limbang ini seperti di Kampung Pandam yang merupakan Projek Perintis Tanaman Nanas Varieti baru ini. 

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, varieti baharu ini sangat manis dan berpotensi untuk dieksport ke luar negara.

“Kita telah memperkenalkannya di Sarawak dan memilih Daerah Limbang untuk dijadikan sebagai tempat permulaan bagi menanam varieti ini secara berkelompok di Kampung Pandam ini.

“Seramai 24 orang peserta terlibat mengusahakan tanaman ini yang mana setiap seorang mengusahakan satu ekar dan projek ini bemula sejak 8 bulan yang lalu dengan bantuan daripada Jabatan Pertanian Sarawak dari segi pembersihan tapak ladang, menyediakan infra seperti perparitan dan juga input seperti benih dan baja,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Pertanian Berkelompok (Projek Perintis Nanas Keningau Diomand) dan kebun persendirian baru-baru ini. 

Dalam perkembangan yang sama, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota yakin dan percaya potensi tanaman nanas di Daerah Limbang dan Bahagian Limbang disebabkan usaha petani, tanah yang sedia ada dan sokongan daripada Kerajaan Sarawak. 

“Kita melihat nanas ini hidup subur di sini dan kita yakin projek ini ada potensi untuk berjaya. 

“Di kawasan ini juga masih terdapat tanah kosong milik petani-petani di sini seluas 90 ekar yang boleh diusahakan untuk pembesaran kawasan tanaman yang ada sekarang pada masa hadapan, ujarnya. 

Dalam lawatan itu, beliau telah meninjau kemajuan Projek Perintis Tanaman Nanas Varieti Keningau Diomand di Kampung Pandam dan seterusnya melawat ke kebun persendirian milik Dollah Tarip di Bukit Bunut. 

Hadir sama Pegawai Pertanian Pembangunan dan Pengembangan Bahagian Limbang Amirul Fikri Jemali, Jurutera Awam Jabatan Pengiran dan Saliran (JPS) Bahagian Limbang Mohamad Izzizi Abing dan Ketua Kaum Kampung Pandam Abdul Rahman Said. -EDISI UKAS

Share

add comment