Datuk Patinggi Abang Zohari Sertai Sambutan Tahun Baru Cina 2021 Secara Maya

JUMAAT, 12 FEBRUARI 2021

KUCHING: Sambutan perayaan Tahun Baru Cina bagi tahun ini ternyata berbeza daripada sambutan yang lalu tatkala pandemik COVID-19 masih melanda dunia, namun ia tidak menghalang masyarakat untuk bersama berkongsi kemeriahannya.

Sehubungan itu, buat pertama kalinya penganjuran rumah terbuka Tahun Baru Cina oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tahun 2021 diadakan secara maya iaitu melalui platfom Zoom.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Datuk Amar Juma’Ani Tun Tuanku Bujang telah menyertai sambutan majlis rumah terbuka tersebut pada Jumaat.

Turut menyertai, Presiden SUPP yang juga Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan tetamu kenamaan yang lain.

Datuk Patinggi Abang Zohari beserta isteri, kemudiannya mengaul “Yee Sang” yang melambangkan simbol kemewahan dan panjang umur secara maya sebagai simbolik sambutan perayaan masyarakat Tionghua itu.

Semasa menyampaikan amanatnya, Ketua Menteri menekankan mengenai perpaduan dan menyeru masyarakat untuk mengekalkannya dalam usaha bersama-sama mengharungi wabak COVID-19.

Menurut beliau, seterusnya merancang dan mempunyai dasar yang baik bagi memacu semula ekonomi Sarawak selepas pandemik COVID-19.

Sementara itu, Dato’ Sri Dr Sim memberitahu, kerajaan Sarawak memerlukan 70 peratus rakyat negeri ini untuk menyertai Program Vaksin COVID-19.

Justeru, beliau menyeru rakyat untuk menyertai program tersebut bagi menyokong usaha kerajaan.-EDISI UKAS

Share

add comment