Simulasi Pertama Program Vaksinasi Sarawak Berjalan Lancar

JUMAAT, 12 FEBRUARI 2021

KUCHING: ‘Dry Run’ atau simulasi Program Vaksinasi Sarawak yang diadakan di Kuching pada Khamis berjalan lancar. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, program vaksinasi ini dilaksanakan dengan penuh teliti dan mengikut jadual.  

Ini termasuk penyediaan fasiliti yang selesa yang dilengkapi kawasan menunggu yang luas untuk klien selepas menerima vaksin.

“Kita akan menyediakan fasiliti yang selesa bagi memudahkan urusan klien yang menerima vaksin ini.

“Jad, dalam menjayakan agenda ini, kita memerlukan ruang yang luas dengan fasiliti yang baik supaya ia mempercepatkan segala urusan berkaitan vaksinasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan ke pusat vaksinasi Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching pada Khamis.

Simulasi yang diadakan pada petang Khamis itu lebih terarah kepada pergerakan klien serta pematuhan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19.

Ini bagi menilai kekurangan dan menambah baik kelemahan sebagai persiapan sebenar yang akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching yang merupakan lokasi pengambilan vaksin untuk sebahagian rakyat Sarawak apabila ianya tiba hujung bulan ini.

Tambah Datuk Amar Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, pusat vaksinasi ini juga akan dibina di kawasan pedalaman di negeri Sarawak bagi memudah dan mempercepatkan proses vaksinasi masyarakat di pedalaman dan luar bandar. 

“Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar dan pelaksanaan ini akan lebih mencabar sekiranya tiada pusat vaksinasi disediakan di lokasi-lokasi yang terletak jauh di pedalaman.

“Untuk itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak telah membuat perancangan untuk membangunkan pusat vaksinasi di kawasan terlibat bagi mempermudahkan urusan ini,” tambahnya.

Maklumat lanjut mengenai jumlah pusat vaksinasi dan kaedah pendaftaran hanya akan diumumkan oleh Dr Chin Zin Hing pada 15 Februari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah JKN Sarawak Dr Chin Zin Hing.-EDISI UKAS

Share

add comment