DidikTV KPM, Saluran Khusus TV Pendidikan Mula Bersiaran 17 Februari Ini

SABTU, 13 FEBRUARI 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Februari ini bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Menurut KPM dalam satu kenyataan media pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyempurnakan pelancaran saluran tersebut pada hari pertama siaran jam 8 pagi.

Katanya, pewujudan saluran khusus ini merupakan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

Dalam pada itu, KPM memaklumkan, DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI.

Manakala bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.

Jelas KPM lagi, sebelum ini KPM telah menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV ASTRO dan Didik TV@ntv7.

“Kini, buat pertama kalinya KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial dengan pengisian dari 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari,” katanya.

Ujar KPM lagi, saluran itu juga akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

“Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.

“Selain itu, program antarabangsa yang bersesuaian akan turut disiarkan,” tambahnya lagi.

Kata kementerian itu lagi, Saluran DidikTV KPM juga merupakan satu platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

Menurutnya lagi, KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.-EDISI UKAS

Share

add comment