Salur maklumat Sahih Dan Sesuai Untuk Rakyat, UKAS & RTM Akan Jalin Kerjasama

SABTU, 13 FEBRUARI 2021

KUCHING: Penyaluran maklumat yang tepat adalah perkara penting yang harus diambil kira oleh pengamal bidang penyiaran.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol berkata, seiring dengan peredaran zaman dan teknologi, pengisian yang terkini dan sesuai dengan jiwa menjadi kehendak masyarakat masa kini.

Justeru katanya, bagi menyalurkan maklumat yang tepat dan sesuai kepada rakyat terutamanya di kawasan luar bandar, jalinan kerjasama antara UKAS dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan memantapkan lagi usaha tersebut.

“Di sinilah saya rasa RTM akan terus relevan sebagai saluran perdana kerajaan untuk menyalurkan berita sahih, manakala UKAS pula yang mempunyai wakil di setiap daerah dan bahagian di Sarawak akan sentiasa mengikuti perkembangan rakyat, sekali gus menjadi tali penghubung di antara rakyat dan kerajaan.

“Pada masa yang sama, saya kira RTM dan UKAS perlu menyelami denyut nadi rakyat dengan menyalurkan berita mengenai kehidupan rakyat di desa dan luar bandar dari segi pembangunan dan sosioekonomi,” katanya dalam sidang mediaselepas program sambutan Hari Radio Sedunia di RTM Kuching, pada Sabtu.

Terdahulu, beliau telah merasmikan sambutan Hari Radio 2021 anjuran RTM Sarawak dan telah menyerahkan hamper dan ‘bubur pedas’ kepada petugas barisan hadapan.-EDISI UKAS

Share

add comment