Tertarik Dengan Tawaran Pertukaran Kad ‘BigPay’, Seorang Wanita Kerugian RM11,583

SABTU, 13 FEBRUARI 2021

BINTULU: Seorang wanita mengalami kerugian berjumlah RM11,538 selepas tertarik dengan tawaran pertukaran kad ‘BigPay’.

Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili pada Khamis, mangsa yang bekerja di sebuah kompleks membeli belah telah mendedahkan kod kata laluan satu kali (OTP) perbankan secara dalam talian kepada individu yang tidak dikenali.

“Sewaktu berada di tempat kerjanya, kerani wanita yang berusia 29 tahun itu telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai kakitangan BigPay.

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa memberikan butiran diri dan nombor OTP bagi setiap akaun bank yang beliau miliki.

“Berasa curiga selepas memberikan butiran diri dan kod OTP tersebut, mangsa segera membuat semakan baki di dalam akaunnya, mangsa mendapati sejumlah RM10,228 telah dipindahkan ke dalam akaun yang tidak diketahui, manakala semakan baki di akaun bank keduanya, mangsa mendapati sejumlah RM1,250 turut dipindahkan ke akaun individu yang tidak diikenali,” katanya.

Menyedari dirinya tertipu, mangsa segera pergi ke cawangan bank berkaitan untuk menyekat akaun banknya daripada terus diakses oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat mangsa di Balai Polis Pusat Bintulu pada Rabu dan kes disiasat di bawah  Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Zulkipli menasihatkan orang awam untuk tidak berkongsi sebarang maklumat sulit seperti kata laluan, OTP dan nombor kad pengenalan kepada sesiapa sahaja melalui sebarang panggilan telefon atau mesej yang mungkin diterima terutamanya dari aplikasi Whatapps.

“Individu atau orang awam yang menerima panggilan sedemikian diminta agar tidak menuruti arahan pemanggil atau mendedahkan maklumat peribadi kepada mereka dan jangan telefon ke nombor telefon yang diberikan.

“Sebaliknya orang ramai perlu menghubungi bahagian khidmat pelanggan bank berkaitan menggunakan nombor telefon yang tertera di laman web rasmi bank berkenaan.

“Ini untuk memastikan panggilan yang diterima itu asli atau sebaliknya,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share

add comment