JKKK Perlu Pantau Kelancaran Projek Rakyat-Abdullah Saidol

AHAD, 14 FEBRUARI 2021

SEMOP: Penglibatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) penting dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan lancar.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abdullah Saidol berkata berkata, peranan jawatankuasa itu penting terutamanya untuk memantau projek di kawasan masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja dan penyerahan peruntukan geran projek kecil luar bandar (MRP) di Kampung Kut, Kampung Semop dan Rumah Jingga Igon di Sungai Kelai pada Ahad.

Dalam lawatan kerja itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop telah menyampaikan sumbangan MRP berjumlah RM100,000 kepada JKKK Kampung Kut bagi penyediaan tapak perkuburan.

Di kampung yang sama, beliau turut meninjau tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) membaikpulih gelanggang serbaguna Kampung Kut dan meninjau kerja pembinaan jambatan baharu Masjid Kampung Kut yang telah siap dengan kos RM250,000.

Manakala di Kampung Semop, Abdullah Saidol menyempurnakan simbolik penyerahan kunci rumah baharu, salah seorang penduduk, Mohamad Zachary Jacobus yang sebelum ini musnah dalam kebakaran.

Dalam masa yang sama, beliau menyerahkan sumbangan cek MRP berjumlah RM36,000 kepada 12 penerima dan seterusnya melawat ke tapak gerai peniaga kecil Kampung Semop yang bernilai RM68,000.

Seterusnya beliau meluangkan masa meninjau tapak membina baharu jalan Kampung Baru Semop yang bernilai RM450,000 dan projek membina baharu pondok jeti Kampung Semop dengan kos RM14,450.

Penduduk Rumah Jingga Igon di Sungai Kelai turut menerima berita gembira selepas Abdullah menyampaikan sumbangan sebanyak RM 20,000 bagi kerja-kerja menembok batu jalan ke rumah panjang mereka.

Di samping itu, beliau juga menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk membina tempat pakir rumah panjang tersebut.-EDISI UKAS

Share

add comment