Pendemokrasian Pendidikan Beri Peluang Dan Hak Yang Sama Untuk Dapatkan Kemudahan Pendidikan

AHAD, 14 FEBRUARI 2021

KUCHING: Setiap individu di Malaysia berhak mendapatkan peluang dan hak yang sama untuk mendapat pendidikan serta kemudahan yang disediakan. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut menerusi mendemokrasikan pendidikan, setiap individu diberikan peluang yang sama untuk mendapat akses pendidikan dan hak memilih jenis sekolah untuk belajar tanpa mengira status ekonomi, sosial, keistimewaan, jantina, kaum, agama atau latar belakangnya.

“Sistem pendidikan selama ini tidak pernah mengabaikan mana-mana golongan masyarakat sama ada golongan buta, cacat pendengaran dan bisu serta kanak-kanak ‘down syndrome’ juga mendapat pendidikan dalam negara.

“Malah, kewujudan institusi pendidikan swasta dan pelbagai jenis sekolah seperti Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Kebangsaan Jenis (SKJ) Cina (C), SKJ Tamil (T) dan sebagainya merupakan sebahagian daripada agenda pendemokrasian pendidikan. 

“Tidak cukup dengan itu, langkah sokongan untuk memantapkan lagi pelaksanaan agenda pendemokrasian pendidikan dalam aspek ini iaitu bantuan buku-buku teks melalui Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pemberian biasiswa oleh Kementerian Pendidikan dan lain-lain agensi bagi mereka yang layak bertujuan agar kemiskinan tidak dijadikan alasan seseorang itu tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya.

“Maka, tidak akan wujud lagi alasan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah disebabkan desakan hidup,” katanya selepas mengadakan Walkabout di Sekolah Kebangsaan (SK) Fajar Sejingkat baru-baru ini.

Dalam perkembangan yang sama, ujar Dr Hazland lagi, pendemokrasian pendidikan juga turut memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan pendidikan untuk masa depan diri serta kepentingannya dalam menentukan kelangsungan atau kesinambungan kegemilangan negara. 

“Ia sekaligus dapat membasmi masalah buta huruf di dalam kalangan penduduk di setiap negara. 

“Juga, dapat merapatkan jurang pencapaian akademik kerana ketidaksamaan peluang dalam pendidikan,” ujarnya. 

Pada majlis itu juga, beliau juga menyampaikan geran tahunan sebanyak RM10,000 kepada SK Fajar Sejingkat bagi kegunaan mengadakan aktiviti tahunan sekolah. -EDISI UKAS

Share

add comment