ADUN Sebuyau Serah Geran MRP Kepada 50 Penerima

ISNIN, 15 FEBRUARI 2021

SEBUYAU: Seramai 50 penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Sebuyau menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) pada Isnin.

Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, dana sebanyak RM328,000 yang disalurkan itu bertujuan membantu pertubuhan melaksanakan aktiviti berfaedah untuk masyarakat setempat.

“Kerajaan sentiasa mengambil berat keperluan persatuan, JKKK dan NGO untuk melaksanakan aktiviti seperti yang dirancangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Geran MRP Kerajaan Sarawak di Dewan Masyarakat Kampung Sampat Sebangan pada Isnin.

Justeru Datuk Julaihi berharap agar semua penerima memanfaatkan sumbangan yang diberikan dengan menjalankan aktiviti serta program kebajikan yang bersesuaian di kampung masing-masing.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan set komputer kepada SJK Chung Hua Sebangan.

Turut hadir, Pegawai Tadbir Sarawak Sebuyau, Ajis Ahmad, Pemanca Kawasan Sebuyau, Asli Yahya, Penghulu Masyarakat Iban Kawasan Sebangan, Merum Babu dan Penghulu Masyarakat Iban Kawasan Sebuyau, Agu Keleng.-EDISI UKAS

Share

add comment