JPBB Miri Tambah 2 Pasukan Penguatkuasa Untuk Mantapkan Aktiviti Penguatkuasaan SOP COVID-19

ISNIN, 15 FEBRUARI 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah mengambil keputusan menambah dua lagi pasukan penguatkuasa bagi memantapkan lagi aktiviti pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 di Miri. 

Menteri Bertanggungjawab Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, penambahan ini menjadikan jumlah kesemuanya ada lima pasukan penguatkuasaan. 

“Tambahan dua pasukan penguatkuasaan ini terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM). 

“Kita berharap orang ramai memberikan kerjasama, berdisiplin dan adalah menjadi tanggungjawab diri sendiri untuk mematuhi SOP dan tidak perlu diberikan kompaun atau amaran,” katanya menerusi kenyataan media selepas mengadakan Mesyuarat Bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Isnin.

Tambahnya lagi, amaran dan kompaun adalah merupakan langkah terakhir yang perlu dilakukan bagi memastikan usaha agar Miri bebas daripada pandemik ini dan kembali kepada Zon Hijau. 

Sehingga Ahad, sebanyak 567 buah premis perniagaan telah diperiksa meliputi 28 buah pasaraya, 480 premis makanan, 19 penjaja, 27 lain-lain (premis perniagaan) serta 13 Pusat Penjaja. 

Manakala, PDRM pula melaporkan operasi pemantauan harian pula, sebanyak 38 kompaun telah dikeluarkan bagi tempoh 8 hingga 14 Februari 2021 dengan 36 kompaun dikenakan di pusat hiburan dan dua kompaun membabitkan kesalahan di tempat awam. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan wakil-wakil dari jabatan dan agensi di bawah JPBB Miri. -EDISI UKAS

Share

add comment