Kerajaan Sarawak Lulus RM9.6 Juta Naiktaraf Masjid Darul Taqwa Bintangor, MRP RM113,000 Untuk Lima Pertubuhan

ISNIN, 15 FEBRUARI 2021

BINTANGOR: Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM9.6 juta untuk projek membaikpulih dan menaiktaraf Masjid Darul Taqwa Bintangor di Bintangor.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abdullah Saidol membawa berita gembira itu semasa lawatan kerja beliau ke Bintangor pada Isnin.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM50,000 bagi kerja menaiktaraf Dewan Serbaguna Komuniti Kampung Melayu Bintangor.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop turut menyampaikan geran projek luar bandar (MRP) berjumlah RM113,000 kepada lima buah pertubuhan.

Penerima terdiri daripada KEMAS Bahagian Sarikei (RM3,000), Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Meradong (RM10,000), SABERKAS Daerah Meradong (RM20,000), Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Taqwa,
Bintangor (RM30,000) dan Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Bintangor (RM50,000).

Sementara itu, Abdullah Saidol mencadangkan kepada penerima untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja kebajikan susulan ramai masyarakat hari ini terjejas disebabkan pandemik COVID-19.

Ujarnya, mereka juga disaran untuk menubuh jawatankuasa bencana dan kecemasan untuk memantau pematuhan orang ramai terhadap garis panduan mencegah penularan wabak itu.

Tambahnya juga, peruntukan yang diberikan seharusnya diurus dengan berhemah, telus dan berintegriti. -EDISI UKAS

Share

add comment