Patuh SOP Untuk Bendung Penularan COVID-19

ISNIN, 15 FEBRUARI 2021

BETONG: Penduduk di rumah panjang terus kekal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan sebagai usaha memutus penularan wabak COVID-19 dalam kalangan komuniti itu.

Tinjauan krew UKAS di Rumah Saga Unggot terletak di Nanga Ulai, Ulu Rimbas, Debak pada Ahad mendapati penduduk di rumah panjang itu amat menitikberatkan garis panduan semasa menerima kehadiran orang ramai yang datang untuk menziarahi keluarga Entawan Tinggi, salah seorang penghuni di rumah berkenaan yang meninggal dunia.

Selain menampal notis untuk memudahkan kehadiran orang ramai, alat pengimbas suhu turut disediakan termasuk buku catatan bagi tujuan merekodkan nama.

Tetamu yang datang menziarah juga menggunakan pelitup muka.

Sementara itu, Tuai Rumah Lembang Liang dari Rumah Panjang Inar, Rimbas, Debak yang juga Ketua Ranting PBB Rimbas Ulu turut hadir untuk menghulurkan sumbangan kewangan dari Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Bantuan kewangan merupakan budaya dan simbolik keprihatinan penduduk setempat terhadap keluarga yang ditimpa musibah seperti kematian. – EDISI UKAS

Share

add comment